Saturday, March 30, 2013

upside down, si lalang.

Perhatikan lalang.
Lalang tumbuh di mana - mana.
Selalunya lalang dianggap musuh pada tanaman.
Jika lalang tumbuh, tumbuhan lain sukar untuk tumbuh.
Pokok lain akan terbantut dan adakalanya terus mati.
Jika lalang di kebun, pasti hasilnya kurang.
Jika halaman rumah ditumbuhi lalang, kebersihannya terjejas.

Manusia tidak sepatutnya mengikut resmi lalang.
Berada kita di rumah, universiti atau di mana - mana.
Jangan sampai susahkan orang lain.
Tingkah laku dan akhlak kita.
Jangan sampai cemarkan keindahan dan keharmonian masyarakat kita.
Biarlah tutur kata kita sopan dan lemah lembut.
Pasti ramai yang terkesan dengan kesopanan dan kelembutan itu.
Jika di sebaliknya, akan ramai yang benci dan menjauh.

Jangan jadi lalang!
Di mana dan ke mana jua, orang tak suka!

Perhatikan lalang.
Sekejap meliuk ke kiri, sekejap ke kanan.
Adakah ia salah si angin yang meniup?
Atau si lalang yang tidak teguh pendiriannya?

Hidup ini biar jangan suka menyalahkan orang lain.
Sedangkan diri kita sendiri memilih untuk berada di situ.
Hidup ini jangan mudah dipengaruhi orang lain.
Sekejap ke sana, sekejap ke sini.
Teguhlah berdiri walau di mana jua.
Pasakkan keyakinan kepada Dia yang menciptakan kita.

Jangan jadi lalang!
Yakinlah dalam menghadapi segalanya!

* * *


Hakikatnya, apa salahnya dengan lalang?
Bukanlah ia bangsa petualang, melainkan ditiup depan dan belakang.
Berlenggok dan bergoyang, tanpa mengira malam atau siang.

Subur lalang di celah rekahan tanah.
Tanah terbiar, tanah usang, tanah yang bakal meruntuh.
Kerana ditinggalkan tanpa sebarang ikhtiar.

Subur lalang tanpa diminta baja.
Subur lalang tanpa ditagih hujan.
Subur lalang tanpa inginkan redup.
Subur lalang di terik suria.
Pengukuh hamparan yang bakal roboh.

Apa salahnya lalang?
Aku mahu menjadi lalang!
Pengukuh hamparan tanpa diminta.
Tanpa dibaja, tanpa diredup.
Sering ditindas, sering dicantas, sering direntungkan.

Sedarkah.
Semakin aku dicantas, ditindas, dipangkas.
Semakin pula aku bertunas?

* * *

Melihat dari dua perspektif yang berbeza.
Itulah manusia. Judgemental!
Fikir yang baik, maka baiklah ia.
Fikir yang buruk, maka buruklah ia.
"Kita, adalah apa yang kita fikirkan."

Hebatnya Allah yang menciptakan si lalang untuk kita ambil pengajaran!
Hebatnya Allah yang mengurniakan akal untuk kita fikirkan hikmah di sebalik ciptaan - Nya!

Subhanallah! Semoga bermanfaat.

Segalanya penuh hikmah!
Memanifestasi lalang :)
- farhanaselamat -

No comments: