Tuesday, December 23, 2014

wad 15.

Satu.

"Puan boleh tukar baju ni di tandas belakang.", kata si jururawat sambil menghulurkan sepasang baju hijau hospital kepada si ibu.
"Eh. Saya pesakitnya, bukan mak saya.", kata si anak sambil memandang si jururawat yang tersipu malu.
"Ohh maaf, maaf. Siapa nama dik?", lalu diberikannya gelang nama mengesahkan bahawa si anak adalah pesakit sebenar.

Dua.

Dia mengerling ke arah ku yang baru tiba di sebelah katilnya sambil tersenyum sayu. Dari redup matanya tergambar kesakitan yang dihadapinya. Riak wajahnya yang matang membuatku mengagak umurnya seperti baya-baya aku, namun aku silap, dia jauh lebih muda dariku. Realitinya, dalam pada usianya yang baru sahaja 12 tahun dia didapati menghidap penyakit kronik yakni mempunyai ketumbuhan di bahagian ususnya. Dia dibedah dan terlantar seminggu di wad gineonkologi itu. Kerap kali aku mendengar ceritanya. Tidak bersekolah sejak darjah tiga dan telah kematian ibu kandungnya sendiri. Sungguh berat ujian yang menimpa dirinya. Aku terkesima. Memandang wajahnya sayu, mengandaikan jika aku berada di tempatnya. Tidakku mampu melaluinya, sungguh kau insan istimewa.

Tiga.

Usianya mungkin telah menjangkau 50-an tetapi kudratnya kelihatan begitu kuat sekali. Cuma sesekali terpaksa menggunakan khidmat tongkat untuk berjalan ke sana ke mari. Dan aku mengkaguminya kerana dia menjaga solatnya. Bukan sahaja menjaga solat, bahkan solatnya pasti di awal waktu. Biarpun dalam keadaan yang tidak berdaya, sesekali aku mendapatinya bertahajud di atas katilnya sepertiga malam. Aku sungguh terkesan. Pernah sekali dia katakan, ruginya kita jika terjaga 3 pagi hanya untuk membuang air sedangkan solat sunat yang cuma 3 minit tidak pula kita rebut. Allah lah yang sebenarnya mengejutkan kita. Dalam keadaan tidak berdaya dan lemah sebegini, sepatutnya kita lebih berharap kepadanya. Sebenarnya pada ketika itu, dia sedang bersembang bersama pesakit lain, di penjuru katilku. Aku hanya mencuri-curi dengar. Secara tidak langsung, nasihatnya itu menyedarkanku. Apalah sangat aku yang muda ini hendak dibandingkan dengan makcik yang sudah berusia.

Empat.

Ada 2 orang makcik yang tidak dapat bergerak langsung dan hanya terlantar di katilnya. Rasanya batang tubuhnya juga sudah kepenatan menahan perit sakit hari demi hari. Namun, ku perhati, suami kepada 2 makcik ini sungguh setia berada di sisinya. Segala minum makan pakaiannya dijaga. Suami yang sangat memotivasikan isterinya. Memberi harapan bahawa esok masih ada.

Lima.

Tepat jam 1.15 pagi ku kira, aku terjaga dari lena kerana terdengar jeritan kesakitan seorang pesakit di hujung wad ini. Jeritannya yang sungguh nyaring menyebabkan doktor dan nurse berpusu-pusu ke tempatnya. Makcik itu mengerang sakit lantas ditenteramkan oleh si jururawat. Cubaan mententeramkan makcik itu sia-sia kerana semakin kuat pula suaranya sehingga akhirnya dia menjerit mahu keluar dari wad tersebut. Aku tidak suka mendengar ngilaian kerana aku akan teringat kisah sepim. Automatik bulu roma ku meremang pabila mendengarnya. Alhamdulillah, setelah diberi suntikan penenang akhirnya makcik itu diam dan tertidur. Suasana sungguh misteri!

Enam.

Kebiasaannya, doktor HO akan mula terpacak pada pukul 6.30 pagi di wad. Kagum! Habis tugasnya pula lewat malam. Tidak dapat ku bayangkan jika aku berada di tempat mereka, lagi-lagi jika sudah berkeluarga, punya suami dan anak untuk diambil perhatian. Tetapi itulah pengorbanan mereka, sungguh mulia. Alhamdulillah, doktor-doktor dan jururawat di sini mesra alam orangnya. Pernah sekali, doktor HO meluahkan rasa hatinya yang stress menjadi doktor. Katanya lebih baik menjadi pharmacist atau dentist. Penatnya kurang. Mungkin kata-kata itu terpacul kerana dirinya sangat penat pada hari itu kerana aku yakin dia sedang ikhlas menjalankan khidmatnya di sini. Si jururawat praktikal yang baya-baya aku pun suka berborak denganku. Kami bercerita tentang keluarga dan study masing-masing. Mengimbau memoriku tentang interview SPA dulu. Mungkin aku juga akan bersama mereka jika aku terima tawaran bidang kejururawatan itu.

Tujuh.

Mungkin tahap kesedaran terhadap kepentingan kesihatan orang melayu tak sebagus orang cina. Bukan kerana apa, makcik cina di sini walaupun sangat kurus tetapi sangat rajin berjalan exercise di dalam wad. Setiap petang pasti ada saja yang melalui kawasan katilku sambil tersenyum. Makcik cina ini juga rajin membaca newspaper yang dibawa oleh anaknya setiap hari.

Lapan.

Begini rasanya duduk lama-lama di wad. Aku sangat bersyukur ya Allah kerana mengurniakan kedua ibu bapa yang kuat semangatnya. Walaupun tiada siapa yang menemaniku tetapi mereka setiap pagi dan petang pasti melawatku. Dan tidak kusangka setiap hari ada saja insan-insan istimewa yang menceriakan hariku di wad ini. Tidak ketinggalan, yang menghantar whatsapp penguat semangat untukku walau mereka jauh nun di sana. Jazakillahu khayran katheera atas segala kebaikan yang diberi. Moga aku juga dapat berbuat baik kepada orang lain sepetimana orang lain berbuat baik kepadaku. InshaAllah!

Sembilan.

Akhirnya setelah 12 hari berada di wad ini, aku dibenarkan untuk pulang ke rumah. Alhamdulillah, tiada test yang positive result. Namun, doctor masih ingin mengkaji punca ascites berlaku padaku. Sebelum aku keluar, ayah mama dikehendaki datang awal sedikit untuk berbincang tentang perancangan seterusnya. Sementara menanti, aku diberikan bil hospital dan akhirnya hasil perbincangan tersebut mereka memutuskan untukku discharge semula pada minggu hadapan. Katanya, untuk pemeriksaan lanjut tentang tibi. Aku terkejut. Ingatkan, episod ku di wad terhenti di sini pabila test tibi sebelum ini negative, hanya pada mantoux test sahaja yang positive. Itupun mungkin disebabkan complication lain. Hmmm. Hatiku seakan berat. Aku dah dua minggu tinggalkan study. Takkan aku nak extend satu sem lagi. Bagaimana pula dengan fyp? internship? dan convo? Aku tak nak berconvo dengan adik junior! Hatiku memberontak sendiri. Ku harap mereka memahami.

Sepuluh.

Setibanya waktu aku keluar dari wad ini, seorang makcik berkata padaku. "Jaga kesihatan ya, Farhana. Semoga tidak masuk wad ni lagi sampai Farhana bersalin nanti." Aku berbalas senyum padanya. Dia seakan mengerti isi hatiku. InshaAllah makcik, penyakit ini pasti sembuh, dengan izin-Nya. Ameen.

* * *

Ceritera ini mewarnai hari hari ku (baca: 12 hari) di sini. Pengalaman berharga yang pasti akan ku kenangi. Namun, cukuplah hanya sekali. And the rest is history. :)

No comments: