Wednesday, June 17

banten.

Kami berdiri di sini,
Dalam kegelapan sunyi,
Tempat yang sepi ini membawa kami,
Jauh menelusuri watan,
Dari Makassar ke Pulau Serendip (Sri Lanka),
Lansung ke South Africa,
Di sebuah sel terpencil,
Di Pulau Robben.

Tempat ini tiada yang mengunjungi,
Justeru tiada yang mengetahui,
Salah satu benteng umat di sini,
Dari Makassar hingga Tanjung Pengharapan,
Memastikan Islam,
Akan terus diwarisi sehingga kini dan nanti.

(Nukilan: Prof Dr Hafidzi Mohd Noor)

Episod sejarah yang paling menyedihkan kerana ayah terpaksa memerangi anaknya sendiri demi mempertahankan kedaulatan Islam. Berada di kota lama Banten selepas solat maghrib di malam yang gelap kerana tiba-tiba blackout! Tetapi ia tetap tidak membataskan trip kami dalam menelusuri sejarah perjuangan kerajaan Islam Banten. Kami menangis di hati dan menitis air mata di atas tapak yang sudah digosor oleh Belanda pada tahun 1680 ini.

Tempat ini menyaksikan ayah terpaksa memerangi anak sendiri (Sultan Haji) kerana disokong Belanda. Sultan Ageng Tirtayarsa bergabung dengan ulama dari Makassar yang menjadi mufti dan menantunya, Syeikh Yusuf Tajul Al-Khalawati Al-Makassari untuk mempertahan kedaulatan dan maruah umat. Akhirnya ayah mendekam dalam tahanan dan meninggal dalam kesedihan. Syeikh Yusuf Tajul ditangkap dan diasingkan ke Sri lanka dan akhirnya ke Afrika Selatan. Ketika Nelson Mandela dibebaskan dari penjara, kubur Syeikh Yusuf lah yang diziarahi oleh beliau sambil mengatakan, “the best son, South Africa ever had.”


Di sinilah bermulanya kerajaan Islam Banten yang bernaung di bawah kerajaan Demak. Di sinilah Wali songo Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) dikirim oleh Raden Fath untuk mengukuh kedudukan dakwah Islam. Di sinilah penyerangan disusun untuk mengusir Portugis yang bersekutu dengan kerajaan Pajajaran di Sunda Kelapa dan membuka Jayakarta (Jakarta). Perancangan Alfonso De Albuqueque untuk bertapak di Pulau Jawa dan mengukuhkan kedudukan Portugis di Melaka digagalkan. Di sinilah bermulanya kerajaan Banten dengan Sultannya yang pertama Maulana Hasanuddin iaitu putra Sunan Gunung Jati.

Suatu lagi perihal, tentang makam yang dipuja. Bagi masyarakat di sini, ia menjadi suatu kebiasaan. Mereka sanggup datang dari jauh dengan berbagai-bagai hajat untuk diluahkan kepada makam-makam wali yang dikatakan sebagai perantara antara dirinya dengan Allah. Astaghfirullah wa na’uzu billah. Moga kita terhindar dari perbuatan sebegini. Seandainya wali-wali itu masih hidup, nescaya mereka juga tidak redha dengan perbuatan pemujaan mereka itu. Sesungguhnya, wali-wali bukan untuk dikeramatkan tetapi untuk kita ambil pengajaran daripadanya. Kekuatan yang ada pada mereka itu seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk membina kekuatan iman dalam diri, dalam keluarga dan masyarakat kita. Itulah yang harus kita fikirkan. 

Makam Sultan Maulana Hasanuddin serta kerabat-kerabatnya.


Sungguh, kerajaan Islam yang besar sumbangannya kepada penyebaran dan kekuasaan Islam tidak wajar diketepikan begitu sahaja. Sejujurnya, diri ini seakan sedar betapa pentingnya sejarah nusantara ini kerana ia begitu dekat di dalam hati kita. Andai kata nenek moyang kita tidak memperjuangkan Islam pada ketika dahulu, bagaimana lah agaknya kita tanpa nikmat Islam ini. Benarlah, Islam ini sangat mahal harganya, ia tidak datang dengan percuma. Tetapi bersama perjuangan darah dan air mata. Allahu Akbar..

PS. Semasa ingin mengambil wuduk, aku terkesima sebentar. Tempat wuduknya bercampur lelaki dan perempuan. Auratnya bebas. Kebuntuan melanda kami. Dan seorang sahabat lain berkata padaku. "mereka mengamalkan 4 mazhab di sini." Ohhh. Namun sehingga kini aku masih kaget. :/

No comments: