Monday, June 22

cirebon.

"Sejarah umat adalah sejarah perjuangan, bukan sejarah kalah dan menyerah." 
(Prof Dr Hafidzi Mohd Noor)


Di Cirebon, inilah tempat yang melengkapkan perjalanan jaulah kami dalam menjejaki sejarah perjuangan salah seorang daripada Wali Songo yakni Sunan Gunung Jati atau Syarif Hidayatullah. Apabila namanya disebut sebagai Syarif, bermakna kedudukannya sama seperti nama Syed iaitu keturunan Rasulullah SAW. Keturunan Rasulullah SAW ini lahir sama ada dari jalur Hasan bin Ali atau Husin bin Ali RA. Kedua-dua mereka ini banyak terlibat dalam usaha-usaha penyebaran dakwah di nusantara ini. Dan sebenarnya diangkat menjadi pemimpin banyak tempat di nusantara. Contohnya Raja Perlis iaitu Syed Sirajuddin Jamalullail, beliau juga dari keturunan Rasulullah SAW. Selain itu, Syarif Ali yang menjadi menantu kepada Sultan Brunei. Jadinya, keturunan Sultan Brunei juga adalah daripada jalur Nabi Muhammad SAW. Begitulah juga Syarif Hidayatullah yang memberikan isyarat bahawa beliau juga adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW.

Dan apabila digolongkan sebagai Sunan, Sunan itu bererti mereka yang diberi kekuasaan ataupun mereka yang diberi amanah bukan sekadar untuk menjadi pemimpin, ulama atau pendakwah tetapi menjadi penguasa kepada daerah tersebut. Dalam erti kata yang lain, Sunan Gunung Jati ialah pemerintah ataupun penguasa tertinggi bagi wilayah atau daerah Gunung Jati. Kenapa dinamakan sebagai Gunung Jati? Kerana tempat beliau dimakamkan adalah di Gunung Jati. Pada zaman dahulu, memang kurang sopan jika memanggil ulama dengan namanya. Sebab itu dinamakan ulama ini selepas beliau meninggal dunia dinisbahkan kepada tempat di mana beliau dimakamkan. Sama juga dengan Sheikh Kuala di Aceh iaitu Sheikh Abdul Rauf. Beliau hanya disebut sebagai Sheikh Di Kuala sebagai tanda hormat dan penghargaan kepada sumbangannya di atas jalan dakwah. Jadi beliau telah dimakamkan di Kuala maka sebab itu disebut sebagai Sheikh Di Kuala.

Kembali kepada Sunan Gunung Jati. Datuk kepada Sunan Gunung Jati adalah Maulana Ishaq dari Jazeerah. Bererti beliau ini adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW. Walaupun ada versi yang mengatakan beliau datang dari tempat yang lain tetapi yang lebih sorih (tepat) adlah dari Jazeerah dan beliau pernah berdakwah di Pasai. Pasai ini adalah sebuah pusat kerajaan Islam yang kemudiannya hancur dimusnahkan oleh kerajaan Majapahit sekitar tahun 1360-an. Jadi, pusat pengajian Islam itu berpindah dari Pasai ke Melaka dan sebahagian besar dari ulama juga berpindah dari Pasai ke Pulau Jawa sama ada sebagai tahanan ataupun mereka berpindah kerana Pasai menjadi padang jarak padang terkukur akibat serangan Majapahit pada ketika itu.

Dan kita lihat di sini Maulana Ishaq mempunyai 5 orang putera iaitu Syed ‘Eis, Syeikh Yaakub, Khalifah Husin, Maulana Maghribi dan Maulana Gharibi. Tumpuan kita adalah kepada Syed ‘Eis di mana anak beliau diberi nama Syed Zain dan beliaulah Sunan Gunung Jati. Beliau pernah bermukim di Makkah, berpindah ke Jappara dan kemudian ke Banten. Seperti mana yang kita tahu putera kepada Sunan Gunung Jati iaitu Maulana Hasanuddin diangkat menjadi Sultan yang pertama di Banten. Dan beliau meninggal di Cirebon.

Di Cirebon, kami juga berkesempatan untuk ke Masjid Agung Cirebon. Masjid Agung Ceribon - Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) ini dibina pada tahun 1489 (menurut satu riwayat). Terdiri dari 74 tiang yang dibuat dari kayu jati tanpa paku. Tiang-tiangnya yang sangat padu itu ditopang oleh batu pejal berbentuk seperti labu. Ruang musolla yang asal terdapat pintu pintu masuk yang kecil sehingga seorang terpaksa tunduk untuk masuk ke ruang musolla.



Di mimbarnya ada terowong rahsia untuk imam atau pemimpin umat Islam menyelamatkan diri dari buruan Belanda sekitar 1670-an. Masjid ini dinamakan masjid agung Sang Ciptarasa. Merujuk kepada tarikh pembinaannya masjid Cirebon dibina adalah hampir 90 tahun selepas Masjid Melaka kerana Parameswara masuk Islam pada tahun 1414. Masjid Melaka dimusnahkan oleh Portugis namun Masjid Agung Cirebon masih berdiri. Seni binaan yang menyamai binaan hindu adalah pengaruh arkitek dan pekerja binaan dari Kerajaan Majapahit dan Pajajaran yang sudah berakhir dengan berdirinya kerajaan Islam Demak dan Ceribon. Mimbar asalnya di mana Sunan Gunung Jati menyampaikan khutbah dan menjadi imam masih utuh dan terpelihara. Satu lagi keunikan ialah 7 orang muazzin akan melaungkan azan serentak pada setiap waktu. Ia adalah tradisi yang kekal sehingga hari ini.

7 orang muazzin kita. ^_^


Bau kemenyan. Pengaruh Hindu sangat kuat di sini.


Walau apapun, Alhamdulillah diberi peluang ke Istana Keraton Kasepuhan dan Makam Sunan Gunung Jati setelah ke Masjid Agung Cirebon. Alhamdulillah walaupun ketika di Makam Sunan Gunung Jati kami hanya berada di luar sahaja kerana dikawal ketat oleh penduduk di sana. Sememangnya perziarahan kami ke makam Sunan Gunung Jati merupakan antara sesuatu yang cukup mencabar. Seperti mana yang berlaku di makam Maulana Hasanudin, di sini juga kedahsyatannya hampir sama. Perasaan yang sungguh aneh memenuhi ruang rasa pada ketika melihat sendiri orang ramai berbondong-bondong menyembah kubur-kubur di situ. Sedih. Sungguhpun Islam yang dibawa adalah dari jalur murni ahlus sunnah wal jamaah namun natijahnya melahirkan 2 aliran iaitu golongan santri (syariat yang murni) dan abangan (islam sinkretis dengan hindu bayrawa dan kebatinan). Moga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan kita.

:')

Salam Ramadan ke-5. Sejujurnya pengalaman di Indonesia memberi semangat dan inspirasi kepada diri ini untuk terus menekuni sejarah perjuangan dan sirah-sirah yang lain. Apakah buktinya mencintai Islam seandainya tidak ditelusuri sejarah penyebarannya di muka bumi. Ya Allah, moga dikurniakan kekuatan untuk memanfaatkan masa di bulan yang penuh barakah ini. Ramadan Kareem! :)

No comments: