Thursday, June 18, 2015

sunda kelapa.

Panorama pagi di Pelabuhan Sunda Kelapa.

Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa hamba serahkan.

Ini bukan sekadar pantun biasa. Tetapi ia bisa menggugah jiwa sang pejuang andai dihayati dan dimaknai dengan halus. Begitulah indahnya bahasa. :)

Siri perjalanan kami di Pelabuhan Sunda Kelapa begitu panjang. Kami melihat episod penjajahan sekitar tahun 1400-1900. Sungguh, ia membawa makna yang besar bagi umat ini. Bukan sahaja langkah Portugis untuk mengukuh kedudukannya di Melaka terjejas bahkan menjadi benteng untuk menguasai pusat pengeluaran rempah di Maluku juga terencat. Inilah episod kemenangan Islam dan kekalahan Portugis yang harus kita abadikan dalam sejarah perjuangan.


Dari tahun 1511 sehingga 1527, Pesisir Selat Melaka dan Laut Jawa adalah medan pertempuran naval yang sengit (naval battles). Ketika Sultan Mahmud dan Raja Ahmad melancarkan serangan dari Kota Kara, Bintan, Raden Fatah dari kerajaan Demak dan Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) dan Fatahillah menggempur kepentingan Portugis di Sunda Kelapa. Apabila Alfonso De Albuqueque membina kesepakatan dengan Ratu Samian, pemerintah Kerajaan Pajajaran pada tahun 1511, Raden Fatah telah meminta pandangan dari Wali Songo yang bersidang dan memutuskan untuk melancarkan jihad ke atas Portugis dan Pajajaran. Betapa mereka sangat mementingkan syura dalam setiap perkara dan segalanya perlu kepada strategi yang mantap!

Pada tahun 1513 tahun yang sama pula, Alfonso menggempur pertahanan Sultan Mahmud di Pagoh, Raden Fatah mengirim armada Demak yang dipimpin puteranya Adipati Yunus (Pangeran Seberang Lor) menyerang Melaka. Ahli sejarah sepakat mengatakan cubaan 20 ribu pejuang Demak ke atas Melaka melemahkan kedudukan Portugis di Selat Melaka. 6 ribu pejuang Demak syahid dalam cubaan ini. Allahu, 6 ribu syahid! Tidak terkesan kah kita menyaksikan perjuangan mereka demi memastikan Islam tegak di muka bumi?

Beribu-ribu atau mungkin mencecah juta buah kapal yang masih teguh di sini sejak dari tahun 1500. Betapa canggihnya teknologi zaman dahulu, tak lekang dek zaman. Sehingga kini masih digunakan.


Dan sekali lagi kami diingatkan tentang ini. Umat Islam ini akan kuat bila hati-hati kita disatukan. Bila hati kita disatukan, maka kita tidak lagi melihat sempadan-sempadan. Di mana-mana pun bumi Islam, itu adalah bumi umat yang wajib dipertahankan. Itulah semangat kita. Bukan isunya ini kerajaan Melaka maka ini tanggungjawab Melaka. Ini kerajaan Demak, ini tanggungjawab Kerajaan Demak. Akidah iniah yang memandu umat ini supaya saling membela antara satu sama lain. Dan tidak akan meredhakan salah satu atau sebahagian umat Islam ini dijajah, ditakluk ataupun diceroboh oleh mana-mana musuh Islam.

PS. Kagum! Allah memberi peluang kepada untuk menemui insan-insan hebat di sini. Terlalu banyak untuk diungkap. Biarpun jasad dimamah usia tetapi masih bersemangat untuk berkongsi ilmu yang tidak ternilainya. :')

No comments: